Mutakhir ini, penggunaan media sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti Facebook, Frienster, Twitter dan sebagainya telah mendapat perhatian masyarakat di negara ini terutamanya golongan remaja. Media sosial tersebut telah menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat masa kini. Remaja kini telah menjadikan penggunaan media sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di media sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini telah memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup para remaja.
Penggunaan media sosial dapat menambah kenalan yang baru dari seluruh dunia. Media sosial membuka ruang yang seluas-luasnya kepada seseorang untuk mencari dan mengenali rakan mereka melalui paparan maklumat peribadi dan foto yang dimuat naik. Pengguna media sosial kini aktif dalam menggunakan media sosial sebagai wahana untuk menambah kenalan yang baru. Aplikasi Facebook, WhatsApp dan Telegram adalah pilihan yang sesuai untuk senario ini. Kita boleh memilih rakan baru pada setiap masa baik atas permintaan kita ataupun permintaan dari pemilik akaun rakan yang lain. Pengguna media sosial juga dapat menghubungi atau bertukar-tukar pesanan ringkas serta berkongsi cerita dengan rakan mereka pada bila-bila masa. Sebagai contoh, pengguna boleh menambahkan kenalan menerusi aplikasi Facebook kerana aplikasi ini menyediakan kemudahan carian kenalan, paparan data peribadi, foto dan pengguna hanya menekan aksara ‘pemintaan untuk menjadi rakan’ jika berhajat untuk berbuat demikian.Jelaslah bahawa,media sosial boleh menambahkan kenalan baru sama ada yang jauh mahupun yang dekat.
Seterusnya, media sosial dapat menyampaikan maklumat dengan pantas. Hasilnya setiap pelajar, sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti telah terdedah dengan kebanjiran ilmu pengetahun. Para pelajar boleh menambah ilmu pengetahuan di luar skop tanpa bergantung kepada silibus pelajaran sekolah sahaja. Segala maklumat ini hanya berada di hujung jari. Sesuai dengan pepatah Melayu menyatakan pucuk dicita ulam mendatang dan orang mengantuk disorongkan bantal segala maklumat yang diingini boleh diperolehi secara mudah dengan hanya menggunakan enjin carian google dan yahoo tanpa perlu pergi ke perpustakaan. Para pelajar juga boleh memuat turun buku elektronik secara percuma ataupun berbayar. Sebagai contoh, pelajar hanya perlu menaip tajuk yang berkaitan, enjin carian ini akan mencadangkan beberapa ratus laman sesawang media sosial yang membincangkan tajuk yang berkaitan. Dapat dirumuskan di sini bahawa media sosial dapat membekalkan pelbagai ilmu pengetahuan yang berguna untuk dibaca dan diamalkan dalam kehidupan semasa.
Selain itu, ramai remaja juga menghabiskan masa mereka dengan media sosial. Dengan adanya laman sesawang sosial, mereka dapat mengisi masa lapang mereka dengan melayari facebook. Bagi mereka yang bijak, di samping mengisi masa lapang ada antara mereka membuat bisnes dan membuat promosi melalui laman sesawang sosial seperti Facebook dan Twitter. Mereka juga dapat menjadikan laman sesawang sosial tersebut sebagai alternatif untuk menambahkan pendapatan bulanan mereka. Orang ramai boleh membeli dengan mengklik di laman sesawang dan barangan tersebut akan dihantar melalui pos laju. Siapa sahaja yang berminat untuk membeli barangan tersebut hanya membayar dengan memasukan wang ke dalam bank yang telah ditetapkan oleh penjual. Oleh itu, medium ini dapat menjimatkan masa dan tidak perlu bersesak-sesak di pusat membeli belah untuk membeli sesuatu barangan.
Penggunaan media sosial bukan sahaja mendatangkan kesan yang positif malah mendatangkan kesan negatif iaitu penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas (sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
Selain itu, penggunaan media sosial menyebabkan golongan remaja menjadi lalai dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna media sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan media sosial juga memberikan kesan kepada prestasi pelajaran dalam kalangan remaja. Hal ini akan menyebabkan mereka mengabaikan pelajaran kerana tiada masa yang diperuntuk untuk mengulang kaji pelajaran.Apabila berlangsungnya sesuatu peperiksaan markah yang diperolehi merosot dari peperiksaan sebelum ini menyebabkan mereka tercari-cari kesilapan yang telah dilakukan untuk diperbetulkan. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman menyebabkan seseorang itu membazir masa.
Kesimpulannya, media sosial mampu membawa kepada kebaikan kepada pengguna jika digunakan secara bijak. Justeru, ibu bapa mahupun penjaga haruslah memantau anak mereka ketika mereka menggunakan media sosial untuk memastikan mereka tidak melayari laman-laman sesawang yang berunsur lucah yang mampu merosakkan minda. Ibu bapa seharusnya memasang aplikasi untuk menyekat akses kepada laman sesawang yang tidak mempunyai moral. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka harus lebih berhati-hati ketika berurusan secara talian dan tidak mededahkan maklumat diri sewenang-wenangya kerana kadar jenayah di internet telah meningkat sejak akhir-akhir. Hal ini demikian kerana, pembentukan insan yang paling afektif perlu dilakukan semasa kecil lagi kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pembentukan insan yang terbaik dapat membina negara yang lebih baik pada masa hadapan.